ULAMA' BERTARAF WALI
Tok Kenali ialah satu nama
yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di
Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang
riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir
perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah
(Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat
bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak
demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut
yang belum menyeluruh.
Tok Kenali ialah murid yang
paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak
ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh
Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah
tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi
ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di
dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.
Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak
pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad
shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang
jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani.
Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain
itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali
Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).
Tradisi penulisan para ulama
Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya
dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja
tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan
fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah
yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan
berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak
tahun 1950-an lagi.
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali
ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M,
wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini
adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat
sangat dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun
1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut
nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad
al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu
Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk
menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut)
dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar
‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara
khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud
ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali
munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi
hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke
peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah
Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’
itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar
daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun
1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk
kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau
mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama
lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah
penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh
dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai,
tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada
setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang
mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak
mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu
halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah
tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa
ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan
mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid
al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda
yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali
Allah’.
Walau bagaimanapun, tidak
seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada
murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani
telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak
dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu
sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan
peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah
Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar
lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga
kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak
akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali
seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu
ladunni’.
Sewaktu Syeikh Ahmad
al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok
Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun
berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba
Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu
terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk
bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang
dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok
Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan
Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu,
kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata
untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang
sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok
Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok
Kenali).
Hampir semua murid Tok
Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar
dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila
seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih
pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang
dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika
mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada
kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk
Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini
daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani,
Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji
Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di
Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun
1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui
umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri
Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora,
orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari
Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri
Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang
menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat
duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana
mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali
ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini
didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam
penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal
lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika
majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah
Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara.
Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M)
oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang
diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya
tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang
ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril
Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M.
Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri.
Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah
pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam
bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan
pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu
sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu
karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah
al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam
bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil
Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H.
Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini
dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru
Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau
Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada
9 Safar 1356 H.
Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Karamah Tok Kenali
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
1 comment:
i just want to say that tok kenali story is quite interesting but can I know the story of this ulama as a short story with a simple approach. That is all from me. Thank you.
Post a Comment