Kita tahu
bahawa ilmu itu cahaya, dan tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi
kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula,
sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa
yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya,
tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita
pula hidup dengan penuh cabaran dan duga. Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini
agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu
lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.
Orang bertanya kepada saya. Kenapa
begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak
benar?
Maka saya hendak bertanya kepada
anda.
Adakah anda
tahu apa itu istidraj?
Istidraj ini
adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang
terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya,
walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang
tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah
maksud istidraj?
Istidraj
adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah
ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya,
manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha
menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.
Contoh manusia
yang mendapat istidraj ini banyak. Kita lihat contoh yang mudah. Qarun. Apakah
anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya.
Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung
perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini
hendak menyatakan betapa kayanya dia.
Kisah Qarun
terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya
menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah,
sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila
Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada
ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua
ini adalah hasil dari ilmuku”
Lihat. Lihat
apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin
jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan
sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang
terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah
pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan
seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu
yang kita mahu?
Sebab itulah,
saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam
hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan
maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah
yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99%
akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu
bawa kejayaan?”
Apakah yang
akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda semakin jauh
dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka jangan
gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah
yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan
keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu
melaluinya.
Sebenarnya
ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya
suka baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua
orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat
kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama
berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang
menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja
tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang
melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH,
apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki
yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA
apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang
menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki
yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang
beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk
melihat kebenaran imanNya”
Nah, jangan
anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah studi, gagal
dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian
dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah
ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu
mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum
diuji?…”
Jika gagal
terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam
kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan
memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada
PENCIPTA kita.
Maka
sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa
bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda
kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda
suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana.
Anda mahukan istidraj?
Saya yakin
tidak..
Anda tenang
sekarang?
Anda wajib
untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab
itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah
hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Aku berdosa,
tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau
lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Ya Allah,selamatkanlah aku dari
istidraj...
Mari kita
sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.